Archive | analisis RSS feed for this section

Analisis Pengajaran dan pembelajaran

2 Dec

Noor Shah Saad dan Sazelli Abdul Ghani (2008) menyatakan analisis yang dimaksudkan adalah merujuk kepada aktiviti refleksi yang sistematik yang dijalankan oleh guru pada aspek-aspek tertentu yang berlaku semasa pengajaran. Ini termasuk dalam menentukan kesesuaian tugas yang diberikan, wacana yang berlaku dan persekitaran keseluruhan semasa pengajaran. Maka, proses analisis dalam pengajaran dan pembelajaran merangkumi ketiga-tiga aspek tugasan, wacana dan persekitaran.

Menurut NCTM 1991, seorang guru matematik perlu membuat analisis yang berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui pemerhatian, pendengaran dan pengumpulan maklumat lain tentang pelajar untuk menilai apa yang telah mereka pelajari. Selain itu, guru matematik juga boleh menganalisis kesan tugas, wacana, dan persekitaran pembelajaran terhadap pengetahuan matematik pelajar. Analisis yang berterusan adalah penting dalam usaha untuk mencapai beberapa tujuan yang telah ditetapkan oleh NCTM antaranya termasuklah memastikan pembelajaran matematik yang mantap dan signifikan dapat dihasilkan seterusnya meningkatkan kecenderungan positif pelajar terhadap matematik. Selain itu, analisis yang dilakukan dapat mengembangkan idea pelajar dan menyesuai serta mengubah aktiviti pengajaran. Guru matematik juga dapat mengesan kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Dengan itu, perubahan terhadap aktiviti pengajaran di dalam kelas perlu dilakukan melalui perancangan jangka pendek dan jangka panjang iaitu dengan memilih aktiviti yang sesuai untuk laksanakan sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran. Akhir sekali, NCTM telah menggariskan bahawa analisis ini adalah membolehkan penerangan mengenai pembelajaran pelajar dapat diberikan kepada ibubapa, pentadbir dan pelajar itu sendiri agar tindakan yang selanjutnya dapat diambil dalam usaha untuk memperbaiki kelemahan pelajar tersebut.

Analisis terhadap pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilakukan samada secara lisan ataupun bertulis. Analisis secara lisan adalah melalui sesi soaljawab dan temuramah dengan pelajar. Manakala analisis secara bertulis pula melibatkan tiga proses penting iaitu proses pengujian, penaksiran dan penilaian. Melalui kaedah ini, guru matematik dapat membuat penelitian terhadap pencapaian pelajar secara menyeluruh seterusnya membuat analisis secara terperinci terhadap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengujian, penaksiran dan penilaian adalah tiga proses yang saling berkait rapat. Namun, ketiga-tiga proses ini mempunyai definisi yang tersendiri. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkahlaku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Penaksiran pula didefinisikan sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Manakala proses penilaian menurut Stufflebeam (1971) adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Melalui ketiga-tiga definisi tersebut, perkaitan antara pengujian, penaksiran dan penilaian dapat ditunjukkan melalui gambarajah set berikut.
Image

Ketiga-tiga proses ini dilakukan bertujuan untuk mengesan kelemahan pelajar dan sebagai penggerak kepada pelajar untuk meningkatkan pencapaian mereka melalui ujian yang diberikan. Selain itu, guru dapat mengenalpasti pengetahuan pembelajaran lampau pelajar melalui penilaian awal sebelum memulakan pengajaran. Penilaian selepas pengajaran pula dilakukan bagi menilai kemajuan dan tahap pencapaian pelajar sekaligus mengesan tahap kefahaman pelajar terhadap topik yang dipelajari. Dalam mencapai objektif ketiga-tiga proses ini, NCTM telah menetapkan beberapa standard penilaian yang perlu diambil kira oleh seorang guru antaranya termasuklah penilaian pelajar perlu sejajar dengan apa yang dipelajari dan cara penaksiran sesuai dengan tahap pelajar. Selain itu, guru perlu menggunakan sukatan kurikulum semasa menentukan kualiti taksiran. Setelah melalui ketiga-tiga proses ini, maka guru matematik boleh membuat analisis secara keseluruhan terhadap pengajaran dan pembelajaran matematik.

Analisis pengajaran dan pembelajaran adalah penting bagi meningkatkan pengajaran Matematik. Oleh itu, guru perlu membuat analisis secara menyeluruh dan berterusan bagi melihat bagaimana tugasan yang diberi, wacana serta persekitaran mempengaruhi pembelajaran pelajar seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.