Persekitaran

2 Dec

Persekitaran semasa proses pengajaran dan pembelajaran memberikan kesan yang penting terhadap proses tersebut. Proses pengajaran dan pembelajaran harus berlangsung dalam suasana yang kondusif agar para pelajar dapat belajar tanpa mengalami sebarang gangguan. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, persekitaran bermaksud kawasan di  sekeliling sesuatu tempat atau kawasan sekitar . NCTM, 1991 mengaitkan persekitaran dengan suasana sekolah daripada beberapa aspek iaitu fizikal, sosial dan juga perkembangan intelek. Persekitaran di dalam dunia pendidikan paling sinonim merujuk kepada keadaan di bilik darjah.

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, fizikal bermaksud bukan kebendaan atau keadaan alam semulajadi. Persekitaran daripada aspek fizikal merujuk kepada kemudahan-kemudahan serta suasana pembelajaran terutamanya di bilik darjah. Aspek-aspek fizikal merangkumi kebersihan bilik darjah, tandas, kantin dan kawasan sekolah,  kemudahan sekolah yang mencukupi dan digunakan dengan baik, keselesaan seperti ruang untuk bergerak yang mencukupi dan peredaran udara yang baik, keselamatan anggota sekolah dilindungi dengan adanya peraturan sekolah dan juga kawalan keselamatan lalu lintas, keindahan dan keceriaan sekolah seperti tumbuh-tumbuhan, bunga-bunga serta perhiasan–perhiasan yang terdapat di kawasan sekolah dan lain-lain lagi.

Antara ciri-ciri yang menyumbang kepada suasana bilik darjah yang menyenangkan ialah lantai yang bersih, susunan meja dan kerusi yang tersusun, tingkap yang tidak berhabuk, pencahayaan yang mencukupi, pengudaraan yang baik, papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan dan lain-lain lagi.

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, sosial adalah berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti masa lapang. Guru perlulah bijak dalam  merangsang dan menggalakkan perkembangan sosial murid-muridnya dengan menunjukkan sikap yang adil semasa melaksanakan peraturan kelas. Guru juga harus bijak dalam menguruskan bilik darjah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa. Selain daripada itu, guru perlulah mewujudkan hubungan yang baik antara pelajar dengan pelajar dan juga guru dengan pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah terutamanya aktiviti secara berkumpulan.

Aspek sosial merangkumi hormat-menghormati antara anggota sekolah serta mematuhi peraturan sekolah, bekerjasama, sedia membantu untuk menjalankan tugas tanpa rungutan, rasa tanggungjawab terhadap diri dan anggota sekolah dan lain-lain lagi. Menurut NCTM 1991, peranan lain para guru dalam membina hubungan yang baik ialah dengan memberikan masa untuk pelajar berfikir dan mencari penyelesaian kepada masalah yang diberikan. Selain daripada itu, para guru haruslah menghormati dan menghargai idea-idea pelajar serta menggalakkan mereka supaya memberikan hujah-hujah untuk menyokong idea yang mereka berikan.

Aspek perkembangan intelek merangkumi aspek budaya ilmu seperti  semangat ingin belajar, sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Para pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar sekiranya mereka berada dalam suasana bilik darjah yang selesa. Selain daripada itu, guru perlulah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat merangsang pelajar untuk belajar serta dapat meningkatkan penguasaan ilmu semasa proses  pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai dan contoh-contoh yang berkait rapat dengan kehidupan juga mampu menarik minat mereka untuk belajar kerana mereka akan dapat gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang mereka pelajari.

Leave a comment