Tag Archives: analisis

Pengenalan

2 Dec

Amalan pendidikan telah mengalami reformasi semenjak zaman Yunani purba (Nelson, Palonsky & McCarthy, 2004). Menurut Nik Aziz Nik Pa dalam buku Nilai dan Etika dalam Pendidikan Matematik, di Malaysia, usaha reformasi yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kurikulum Matematik Standard anjuran National Council of Teachers of Mathematics (NCTM 1989, 1991, 2000) berada di barisan dalam menjana perubahan dalam pendidikan matematik pada masa kini. Matlamat utama reformasi pendidikan, termasuk pendidikan matematik adalah untuk membangunkan system pendidikan yang cemerlang.

Dalam laporan Standard Profesional untuk Pengajaran Matematik yang dianjurkan oleh NCTM pada tahun 1991 menegaskan bahawa capaian utama standard-standard terbabit adalah pelajar mampu untuk menyelesaikan masalah, pelajar dapat menilai penaakulan matematik dalam situasi harian dan pelajar mampu berkomunikasi atau menyelesaikan secara matematik. Terdapat enam standard yang ditekankan dalam laporan Standard Profesional untuk Pengajaran Matematik (1991):

  1. Latihan
  2. Peranan guru
  3. Peranan pelajar
  4. Alat dan bahan
  5. Persekitaran
  6. Analisis Pengajaran dan Pembelajaran

Objektif pengajaran matematik mengikut Taksonomi Bloom dalam bidang kognitif boleh dikelaskan kepada enam peringkat, mulai daripada peringkat pengetahuan yang terendah hingga peringkat penilaian tertinggi. Pada amnya, soalan-soalan yang digunakan untuk menguji pengetahuan adalah soalan-soalan peringkat rendah, manakala soalan-soalan yang digunakan untuk melahirkan pengetahuan adalah soalan peringkat tinggi.

Pembelajaran koperatif adalah satu pendekatan pengajaran yang digalakkan penggunaanya dalam kelas matematik (NCTM, 1989). Menurut Nik Aziz (1999) pembelajaran akan lebih berkesan jika pelajar “beriteraksi, berkomunikasi atau berkongsi pandangan dengan orang lain”. Persekitaran yang menggalakkan interaksi dan perbincangan dalam kelas boleh membentuk kecekapan prosedur dan pemahaman konsep melalui penyelesaian masalah, taakulan dan proses berhujah (NCTM, 2000).

Bahan pelajaran yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikelaskan kepada dua kategori, iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan berteknologi juga memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Noraini Idris (2001) lebih lanjut menjelaskan bahawa kehadiran teknologi terutamanya teknologi elektronik seperti kalkulator dan komputer telah menukar fungsi pengajaran dan pembelajaran matematik kerana ia membekalkan satu tapak bagi mempercepat dan mempelbagaikan aktiviti dan bentuk persembahan.

Persekitaran dalam bilik darjah memainkan peranan penting. Pelbagai kaedah digunakan dalam bilik darjah. Pengajaran dalam kelas sesuai digunakan pada peringkat permulaan pelajaran iaitu set induksi, perkembangan konsep dan kemahiran dan penyimpulan akhir pelajaran. Kaedah kelas ini melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seluruh kelas.

Penilaian merupakan proses mengimbas kembali untuk menentukan kualiti produk dan proses berfikir yang telah dilalui. Menurut Szetela dan Cyntia (1992) menilai proses yang kompleks dalam menyelesaikan masalah adalah suatu yang rumit kerana kegagalan pelajar berkomunikasi dengan jelas tentang apa yang mereka fikirkan. Tambahnya lagi, pelajar cenderung untuk membuat pengiraan tanpa penjelasan.

Advertisements